Rosak ukhuwwah tanda lemahnya iman seseorang.
Aktiviti ISMA terbaik ialah aktiviti yang berjaya menyampaikan dakwah Islam kepada masyarakat dan dalam masa yang sama berjaya mengeratkan Ukhuwwah dikalangan ahli-ahli ISMA yang menjadi urusetia aktiviti tersebut.
Ya, gabungan dakwah luar dan ukhuwwah dalam. Untuk mencapai matlamat 2 dalam 1 ini bukannya mudah kerana ianya memerlukan faktor-faktor asasi dalam mencapai kedua-dua objektif tersebut. Aktiviti dakwah yang gagal ialah aktiviti yang tidak dapat menyampaikan mesej dakwah kepada masyarakat dengan jelas kerana kelemahan teknik, cara penyampaian atau persembahan atau persediaan yang kurang baik oleh urusetia. Program dakwah yang gagal juga ialah program yang pada zahirnya berjaya disambut dengan dihadiri oleh ramai penonton tetapi para urusetianya di kalangan para duat berselisih faham, berantakan dan mencemar ukhuwwah yang sedia terjalin sebelumnya di kalangan mereka. Ikhlas kepada Allah dan kematangan dalam kerja dapat menghindarkan kita dari fenomena ini.
Untuk mencapai kejayaan dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat, ahli-ahli ISMA hendaklah terlebih dahulu memahami dan telah hidup dengan objektif aktiviti tersebut. Contohnya dalam penganjuran Malam Palestin, pihak urusetia sendiri telah memahami isu tersebut, bekerja kuat dalam menyampaikannya kepada kaum keluarga tersedat dan telah menyumbang masa, tenaga dan wang ke arah membebaskan Palestin. Begitu juga penganjuran program Maulid Nabi, ahli-ahli ISMA sendiri sebaiknya telah mengamalkan Sunnah Nabi saw dalam peningkatan diri berupa amal-amal zikir dan kewajipan harian, membina rumahtangga dengan mengambil model rumahtangga Rasulullah saw dan berjuang siang malam seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah saw dan para Sahabat ra.
Untuk mencapai ukhuwwah sesama ahli ISMA dalam setiap penganjuran aktiviti maka syarat yang mesti dipenuhi ialah bekerja dan terlibat dengan penuh ikhlas semata-mata kerana Allah swt, tidak kira di mana posisi atau biro yang diamanahkan dan tidak bertujuan untuk menonjolkan dirinya sebagai jaguh program tersebut. Hendaklah disematkan di hatinya bahawa sebarang kejayaan dalam aktiviti adalah kerana perancangan dan pertolongan Allah jua, setelah kita sebagai hamba-hambaNya berusaha sedaya mungkin. Perasaan memaafkan ahli-ahli yang mempunyai kelemahan ketika perlaksanaan hendaklah sentiasa disemat di jiwanya, di samping menghargai teman-teman seperjuangan yang begitu komited dalam menjayakan misi dan persiapan aktiviti tersebut.
Contoh tidak baik dalam sesuatu perlaksanaan aktiviti di jalan Allah seperti Malam Palestin dan sebagainya ialah menganggap diri sendiri bekerja lebih kuat dari AJK yang lain dan dia adalah kunci kejayaan program, tidak berlapang dada terhadap kelemahan yang berlaku sehingga membawa kesan yang berpanjangan selepas tamat program, tidak memberi tunjuk ajar atau nasihah kepada mereka yang bertanggungjawab dalam sesuatu biro sebaliknya membiar sehingga tugasan seseorang tidak tercapai dengan baik, campur tangan berupa arahan dari arah yang tidak sepatutnya dan lain-lain.
Semoga Allah swt menyemai ukhuwwah kepada kita dalam setiap aktiviti yang kita anjurkan dan sertai. Dengan ini ukhuwwah tersebut akan terus mengalir ke jiwa anak-anak kita yang turut hidup bersama berjemaah lalu ia semakin mekar dari program ke program, dari masa ke semasa. Amin.
Sekian, terima kasih.
Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah, KPN ISMA NS.
Difailkan dalam: Fiqh Dakwah









