Ceramah Penerangan Isu-isu Umat Islam di Iraq

Alhamdulillah satu sesi seminar penerangan isu-isu umat Islam di Iraq telah berlangsung pada hari Sabtu 12hb Julai lepas di Masjid Bandar Baru Senawang, Seremban. Program anjuran bersama Masjid Bandar Baru Senawang dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) cawangan Negeri Sembilan ini berhasil menarik sebilangan muslimin dan muslimat yang berminat untuk mengetahui keadaan semasa saudara-saudari seIslam mereka di negara bekas ibu kota empayar Abbasiyyah itu.

Para hadirin berpeluang mendapatkan maklumat terkini di Iraq melalui dua orang penceramah yang dijemput khas dari Iraq, iaitu Mr Khalef Al-Mullah dan Mrs Satha Munther, sambil diterjemahkan secara langsung oleh Ustaz Hj Abdul Halim Abdullah, Naib Presiden ISMA Pusat dan Ketua Perhubungan Negeri ISMA Negeri Sembilan.

Kedua-dua penceramah yang merupakan wakil dari Iraqi Relief Association telah berkongsikan pelbagai maklumat bersama hadirin termasuklah perjalanan sejarah Iraq yang panjang, pergolakan masyarakat di sana, penjajahan dan pencabulan tentera Amerika serta kisah-kisah penderitaan umat Islam di Iraq. Mudah-mudahan sesi ceramah ini berjaya menimbulkan kesedaran umat Islam setempat terhadap isu Iraq yang agak terpinggir dari arus media perdana. Sebagaimana sabda Nabi SAW “Barangsiapa yang tidak mengambil berat urusan umat Islam, maka dia bukan sebahagian dari kalangan mereka”.

ISMA NS mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan buat Ahli Jawatankuasa Masjid Bandar Baru Senawang atas kerjasama yang telah diberikan bagi menjayakan program ini.

Tinggalkan jawapan