Sempena kedatangan sepuluh malam terakhir Ramadhan tahun ini khususnya detik Lailatul Qadar, ISMA NS telah menganjurkan program iktikaf bersama masyarakat pada 26-27 September 2008 bersamaan 26-27 Ramadhan 1429H. Program yang diadakan di Masjid Pancor Jaya, Seremban ini melibatkan ahli-ahli ISMA NS beserta masyarakat setempat. Objektif program iktikaf ini adalah untuk menyemarakkan kesedaran dan usaha di kalangan umat Islam sekitar untuk menghidupkan Ramadhan, lebih-lebih lagi pada sepuluh malam terakhir dengan memperbanyak amal ibadah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah saw.
Program bermula kira-kira pada pukul 5 petang, 26 September dan berakhir 24 jam kemudian. Antara aktiviti-aktiviti yang dijalankan adalah solat terawih, qiamullail, tadarus al-Quran dan sahur beramai-ramai. Ketua Perhubungan ISMA NS, Ustaz Abdul Halim bin Abdullah juga telah menyampaikan kuliah Subuh kepada para jemaah masjid yang hadir. Semoga segala amal ibadah yang telah dilaksanakan sepanjang Ramadhan kali ini diterima oleh Allah dan diberi ganjaran yang sebaik-baiknya.
Difailkan dalam: Aktiviti









