ISMA NS telah turut serta menjayakan Karnival Futsal Remaja Cemerlang yang merupakan sebahagian daripada agenda “Program Ops Sayang D’Sayang Ambang Tahun Baru 2009″. Program ini dikendalikan oleh Pertubuhan Gabungan NGO Dakwah Negeri Sembilan dengan kerjasama MAINS, JHEAINS dan Jabatan Mufti NS bersempena kedatangan tahun baru yang bakal menjelma. Karnival Futsal yang berlangsung pada 27 Disember 2008 di Kompleks Belia dan Sukan Negeri, Paroi ini telah dirasmikan oleh Timbalan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan, Ustaz Mohd Zaidi bin Ramli.
Karnival kali ini menyaksikan penyertaan sebanyak 32 buah pasukan remaja dan belia yang mewakili NGO-NGO di Negeri Sembilan. ISMA NS juga telah menghantar 4 pasukan untuk bersaing dengan pasukan-pasukan lain. Alhamdulillah salah satu pasukan yang mewakili ISMA iaitu pasukan ISMA 4 telah berjaya menduduki tempat ketiga keseluruhan dan seterusnya membawa balik hadiah bernilai RM100. Di samping dapat menyihatkan tubuh dalam suasana yang kompetitif, Karnival Futsal ini juga memberi peluang untuk para remaja berbilang kaum di sekitar Negeri Sembilan saling berkenalan dan beramah mesra.
Semoga Karnival Futsal Remaja Cemerlang ini telah berhasil mencapai matlamatnya iaitu memupuk minat para remaja untuk terlibat dalam aktiviti-aktiviti bercorak Islamik. Seperti yang diungkapkan oleh Ustaz Zaidi dalam ucapan perasmiannya, adalah menjadi harapan pihak penganjur agar para remaja yang hadir dalam karnival ini akan turut serta dalam program-program jabatan-jabatan agama mahupun NGO-NGO Islam di Negeri Sembilan akan datang. Justeru ISMA NS menyeru golongan remaja dan belia di negeri ini yang berminat agar dapat bersama-sama melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti ISMA pada masa hadapan.
Difailkan dalam: Aktiviti
























