Malam Munajat Palestin di Masjid Taman Paroi Jaya Terima Sambutan Menggalakkan

Alhamdulillah, Majlis Malam Munajat Palestin anjuran bersama ISMA Cawangan Seremban dan Masjid Taman Paroi Jaya telah mendapat sambutan yang cukup menggalakkan daripada masyarakat setempat. Program yang telah berlangsung pada 18 Januari 2009 (Ahad) di Masjid Taman Paroi Jaya, Seremban ini menyaksikan kehadiran sekitar 300 orang yang menunjukkan keprihatinan terhadap isu umat Islam di Palestin. Acara bermula selepas solat Maghrib dengan solat hajat dan munajat untuk Palestin yang diketuai oleh Sheikh Solah Zaki al-Hafiz daripada Mesir.

Ini diikuti oleh pidato multimedia bertajuk ‘Holocaust Israel di Gaza’ oleh Prof Madya Dr Zainur Rashid bin Zainuddin, Naib YDP ISMA Seremban. Pidato yang disampaikan berjaya membuka mata para hadirin berkenaan agenda jahat Yahudi Zionis di Gaza serta kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Palestin. Saudara Zaim Shaari kemudian mendeklamasikan sajak Palestin dengan penuh semangat tetapi menyentuh sanubari. Para hadirin juga tidak melepaskan peluang untuk memberi sumbangan kepada saudara-saudara seIslam di Palestin melalui kutipan dana yang dikendalikan oleh sukarelawan-sukarelawan ISMA.

ISMA Cawangan Seremban mengucapkan terima kasih kepada pihak Jawatankuasa Masjid Taman Paroi Jaya atas jemputan untuk menjayakan Malam Munajat Palestin, dan juga kepada muslimin muslimat yang hadir di atas keprihatinan dan sumbangan yang telah diberikan. Semoga berkat doa dan sumbangan kita semua, Allah swt akan memberikan kemenangan kepada umat Islam di Palestin. Amin.

Tinggalkan jawapan