Program ‘Cinta & Airmata Wanita Palestin’ Semarak Inspirasi Wanita Malaysia

Alhamdulillah, Biro Wanita ISMA bersama-sama Aman Palestin telah berjaya menganjurkan program ‘Cinta dan Airmata Wanita Palestin’ pada 25 Mac 2009 (Rabu) bertempat di Dewan Majlis Perbandaran Seremban (MPS). Sambutan yang diterima amat menggalakkan di mana sekitar 500 orang tetamu wanita hadir terdiri daripada kakitangan kerajaan, guru-guru sekolah, penuntut IPT, para pelajar sekolah dan tidak ketinggalan juga para suri rumah.

Program istimewa ini telah diserikan dengan kehadiran balu kepada As-Syahid Dr Abd Aziz Ar-Rantisi (bekas Ketua Umum HAMAS), Puan Rasya Al-Adluni. Sebagaimana diketahui umum, Dr Aziz Ar-Rantisi telah kembali ke rahmatullah angkara bedilan tentera Israel pada tahun 2004. Selain Puan Rasya, program ini turut menampilkan seorang lagi tokoh muslimah Palestin iaitu Umi Nadia Al-Ahsy, isteri kepada Dr. Musa Muhammad Abu Marzuk (Timbalan Ketua Biro Politik HAMAS). Para hadirin juga berpeluang mendengar sendiri pengalaman Puan Hashimah Salleh (Tokoh Maulidur Rasul Negeri Selangor 2008) yang telah menyertai misi ke Gaza pada Januari lalu selama seminggu.

Majlis turut dimeriahkan dengan pidato Palestin yang disampaikan oleh seorang pemidato muda serta alunan nasyid jemputan dari pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama Dato’ Klana Petra Maamor, Ampangan yang telah berjaya menyentuh perasaan tetamu-tetamu dari Palestin sehingga mendorong mereka untuk ke belakang pentas untuk berpeluk-pelukan bersama pelajar-pelajar ini.

Memulakan ucapan dengan menyatakan kegembiraannya bertemu wanita Malaysia dan berdoa agar semua akan bertemu semula di Al-Aqsa yang merdeka dari Israel, Ummu Muhammad menegaskan bahawa kemenangan Al-Aqsa, HAMAS dan Palestin adalah kemenangan umat Islam dalam menghadapi serangan kuffar.

Ummu Muhammad menyatakan antara sebab kemenangan di bumi Gaza ialah:

1.    Tarbiyyah yang diterima oleh anak-anak HAMAS dan Palestin selama 35 tahun. Dalam susah-payah kehidupan, mereka mencapai pelbagai ijazah seperti kedoktoran, jururawat, pensyarah, jurutera dan sebagainya. Infrastrukturnya hancur, tetapi masyarakat dan sistem sosialnya tidak hancur. Solat jemaah tetap dilaksanakan di tengah-tengah hujan bom di antara runtuhan bangunan-bangunan.

2.    Selepas merangkul 70% kerusi pilihanraya, HAMAS berpindah dari gerakan Islam kepada kerajaan yang memerintah Palestin. HAMAS menyediakan khidmat yang jelas kepada rakyat Palestin dan rakyat Palestin sedar bahawa HAMAS mampu menjalankan tugas mereka. Ciri-ciri pemerintahan yang berkorban, berjuang dan sabar disaksikan oleh seluruh rakyat Palestin.

Mereka bangkit berjihad bersama HAMAS menentang Israel. Wanita Palestin menyerahkan suami, anak-anak dan saudara untuk jihad dan berbangga dengannya. Sementara dalam situasi ekonomi yang amat teruk, mereka tetap sabar menanggung kesukaran hidup. Bagaimana wanita Palestin mencapai tahap ini? Kerana mereka mencontohi sahabat Rasulullah SAW seperti Sumayyah, Suwaibah, Ummu Salamah dan para sahabiah lain.

Ummu Muhammad melontarkan persoalan bagaimanakah wanita Malaysia dan di seluruh dunia boleh berperanan? Jawapannya ialah mereka mesti memahami risalah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, di mana baginda bersabda yang maksudnya “Wanita adalah saudara kandung lelaki”.  Maka peranan wanita tidak kurang pentingnya dari kaum lelaki mengikut kemampuannya. Peranan wanita di dalam masyarakat adalah sebahagian daripada risalah Islam yang menyeluruh. Sesungguhnya Baitul Maqdis tidak akan dapat dibebaskan melainkan dengan kekuatan ummah… bukan individu.

Dalam ucapan Ummu Umar pula, beliau menyebut bahawa ketika wanita dunia hari ini mencari dan menuntut hak-hak mereka sebagai wanita, wanita Palestin pula mencari ubat-ubatan untuk suami, anak-anak dan saudara-mara yang cedera akibat perbuatan Israel. Mereka yakin dengan firman Allah “Jika kamu menolong agama Allah, Allah akan menolong kamu” dan ”Sesungguhnya Allah Maha Mendahului dalam urusanNya.”

Selain pelajaran yang diperolehi daripada kalam lisan mereka, bahasa tubuh yang tenang dan bersemangat ketika menceritakan pengalaman mereka amat memberi kesan. Ketabahan mereka ternyata didasari iman dan taqwa kepada Allah SWT. Izharul haq (menzahirkan kebenaran) dan izharud deen (menzahirkan agama) adalah slogan yang mereka bawa ke mana-mana.

Pihak penganjur berkongsi harapan dengan tokoh-tokoh dari Palestin ini iaitu ingin mengajak umat Islam di Malaysia khususnya kaum wanita untuk menyedari tanggungjawab kita dan berperanan dalam kelompok masing-masing untuk membebaskan bumi Palestin yang kita cintai. ALLAHU AKBAR!!!

laporan-program-cinta-airmata-wanita-palestin

Tinggalkan jawapan