Sekalipun Maulidur Rasul 1430H telah meninggalkan kita, semangat dan kenangannya masih lagi segar di ingatan. Pelbagai aktiviti dilangsungkan oleh masyarakat Islam di Malaysia bagi menghayati detik agung keputeraan Nabi Muhammad saw. Salah satu aktiviti yang telah diadakan di Negeri Sembilan ialah pertandingan mewarna dan melukis yang dianjurkan bersama oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Gabungan Pertubuhan Dakwah Negeri Sembilan (GADAK) yang dianggotai oleh NGO-NGO Islam di negeri ini. ISMA Negeri Sembilan diberi tanggungjawab untuk mengendalikan program kemasyarakatan ini selaku urusetia bersama Yayasan Kasih Sayang.
Ahli-ahli wanita dan sukarelawan-sukarelawan ISMA telah bersama-sama turun padang untuk menjayakan pertandingan mewarna dan melukis ini yang berlangsung pada 28 Februari 2009 yang lalu di pusat membeli-belah Giant, Senawang. Bertemakan ‘kasih sayang’, pertandingan melukis dan mewarna kali ini terbuka untuk semua kanak-kanak berumur 6-12 tahun. Alhamdulillah, pertandingan ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan dengan penyertaan seramai 78 orang kanak-kanak dari pelbagai bangsa, termasuklah sebilangan ahli NAZIM (Nadi Asybal Zahrawat ISMA).
Pertandingan berjalan dengan suasana meriah di mana sejak pagi-pagi lagi ruang legar Giant sudah dipenuhi oleh kanak-kanak yang mengambil bahagian. Masing-masing sangat teruja untuk menonjolkan bakat masing-masing di samping cuba memenangi hadiah-hadiah pertandingan yang ditawarkan.Para ibu bapa juga turut hadir bagi menemani dan memberi sokongan terhadap usaha anak-anak masing-masing. Pelbagai gelagat daripada peserta dan ibu bapa dapat disaksikan sepanjang pertandingan berlangsung. Program ini tamat pada kira-kira jam 12 tengahari selepas upacara penyampaian hadiah kepada para pemenang.
ISMA NS juga telah bermurah hati untuk menaja 10 hadiah sagu hati dan hadiah-hadiah penyertaan yang disediakan. Usaha dan penglibatan ISMA dalam menjayakan pertandingan mewarna dan melukis sempena sambutan Maulidur Rasul 1430H ini adalah untuk menunjukkan keprihatinan dalam membelai perasaan anak-anak generasi hadapan ini, menghargai penyertaan mereka dan sebagai meraikan sifat berani dan ingin bersaing mereka. Semoga pengalaman-pengalaman mereka di alam kanak-kanak ini akan menjadi aset yang berharga untuk bekalan kehidupan mereka di masa hadapan.
Filed under: Aktiviti












