Kontinjen ISMA NS Meriahkan Konvensyen Pemikiran Imam Hasan Al-Banna

Pada 30 Januari yang lepas, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) telah mencatat sejarah dengan penganjuran ‘Konvensyen Pemikiran Hasan Al-Banna Dalam Melakar Agenda Bangsa (KOBANNA)’ buat julung-julung kalinya di UNITEN, Bangi yang menyaksikan kehadiran hampir 3000 orang peserta dari seluruh pelosok negara. Kontinjen ISMA Negeri Sembilan turut memeriahkan program ini dengan penyertaan sekitar 400 orang peserta terdiri daripada ahli-ahli ISMA, mahasiswa-mahasiswi IPT, para pelajar sekolah dan juga masyarakat awam.

Konvensyen ini dianjurkan dengan objektif untuk memberikan kefahaman tentang manhaj perubahan Islam yang jelas, praktikal dan berkesan serta mengukuhkan kesedaran dan keyakinan mengenai pilihan penyelesaian Islam terhadap kemelut umat Melayu Islam hari ini. Majlis telah dibuka dengan ucapan alu-aluan daripada Pengarah KOBANNA iaitu Ustaz Wan Hisham bin Wan Embong. Ini diikuti dengan ucaptama sekaligus upacara perasmian oleh Presiden ISMA, Ustaz Abdullah Zaik bin Abdul Rahman yang menyentuh banyak perkara.

Menurut beliau, ISMA mengetengahkan pemikiran Hasan Al-Banna  di tengah-tengah kekacauan politik negara ketika ini kerana pemikiran dan formula perubahan umat  yang dikemukakannya kekal segar pada abad ini. Ustaz Abdullah Zaik juga menyeru bangsa Melayu agar bersatu di atas agenda membangunkan semula keperibadian bangsa yang hebat sebagai umat yang memiliki dan mendokong risalah Islam. Ucaptama Presiden diakhiri dengan simbolik perasmian konvensyen yang memaparkan tayangan multimedia berkaitan Imam Hasan Al-Banna.

Sebaik berakhir sesi rehat, Ustaz Mohd Rusdi Alias (Ketua Biro HRD ISMA) tampil sebagai pembentang kertas kerja pertama bertajuk ‘Pemikiran Al-Banna dan Ideologi Barat: Pertembungan Dua Agenda’. Diikuti selepas sesi rehat tengahari ialah pembentangan kedua oleh Ustaz Mohd Hazizi Abd. Rahman (Timbalan Setiausaha Agung ISMA) yang bertajuk ‘Pandangan Hasan Al-Banna Terhadap Agenda Pembangunan Ummah dan Pelaksanaannya di Malaysia’. Pembentangan kertas kerja diakhiri oleh Ustaz Fauzi Asmuni (Naib Presiden II ISMA) bertajuk ‘Menilai Kemelut Politik Tempatan Berdasarkan Maqasid Syarak’.

Ketiga-tiga kertas kerja tersebut telah memberi satu anjakan dalam kerangka fikir umat Melayu di mana ISMA meyakini bahawa bangsa Melayu perlu bersatu dan membina jatidiri yang mantap dalam usaha memartabatkan Islam di negara ini. Para peserta juga didedahkan dengan kepentingan aspek Maqasid Syarak dalam menilai situasi politik semasa serta tasawur yang jelas terhadap agenda perubahan yang ingin dilakukan. Semoga apa yang dikemukakan ini membuka minda bangsa Melayu yang terlalu dikongkong oleh pemikiran sempit politik kepartian.

Konvensyen diakhiri dengan bacaan resolusi oleh Setiausaha Agung ISMA, Saudara Aminuddin bin Yahaya. Lapan resolusi keseluruhannya telah dibentangkan, antaranya ialah membangunkan bangsa Melayu Muslim menjadi pra-syarat kepada kemuliaan Islam di negara ini, seruan kepada perdamaian antara Melayu Nasionalis dan Melayu Islamis, pembinaan kekuatan jiwa bangsa Melayu dalam mengembalikan kebangkitan umat seterusnya seruan agar umat Islam menilai dan menentukan sikap terhadap sesuatu isu berdasarkan Maqasid Syarak.

Selesai pembentangan resolusi KOBANNA, hampir 3000 peserta yang memenuhi Dewan Seri Sarjana ini bersurai dengan penuh harapan agar bangsa Melayu di negara ini akan bangkit dan bersatu bagi menjayakan agenda Islam yang besar. Walaupun masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk menjelaskan kepada masyarakat  tentang agenda perubahan umat menurut kerangka pemikiran Hasan Al-Banna ini, namun diharapkan konvensyen ini mampu menjadi pencetus kepada pembinaan bangsa Melayu yang mulia dan berwibawa insya Allah.

Satu Respons

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.